Wednesday, November 11, 2009

Biografi Imam Badr al-Din al-Zarkasyi

Melalui kajian yang pernah penulis kaji dalam latihan ilmiah diperingkat ijazah sarjana muda Universiti Malaya, penulis berbangga untuk mendedahkan biografi ketokohan Imam Badr al-Din al-Zarkasyi serta sumbangan beliau dalam bidang penulisan. Justeru, kajian ini adalah sebagai sebuah penghargaan sebagai mengenang seorang tokoh sarjana yang amat berjasa kepada umat Islam melalui kegigihan dan ketekunan beliau yang telah berjaya menghasilkan pelbagai karya dalam pelbagai bidang dan diharapkan kesungguhan beliau dalam bidang ilmu ini akan menjadi ikutan kepada generasi Islam kini dalam usaha untuk memartabatkan dan meninggikan ilmu Islam serta menjadikan al-Qur’an sebagai dustur kehidupan umat manusia.

NAMA PENUH DAN KETURUNAN

Beliau adalah Muhammad bin Abd Allah bin Bahadur bin Abu Abd Allah Badr al-Din al-Zarkasyi . Abu Abd Allah adalah kuniyahnya manakala Badr al-Din pula merupakan gelaran yang diberikan kepadanya.

Mengenai nama bapa beliau terdapat dua pendapat di kalangan ulama’ yang menyebut mengenai nama sebenar bapa beliau iaitu Bahadur . Ini merupakan pendapat yang dikemukakan oleh al-Hafiz Ibn Hajar yang dinaqalkan di dalam kitab beliau al-Durar al-Kaminah. Perkara ini juga disebut oleh Ibn al-Imad al-Hanbali di dalam kitab Syazarat al-Dhahab serta Ibn Iyas di dalam kitab beliau Bada’i al-Zuhur fi Waqa’i al-Duhur.

Pendapat yang kedua ialah Abd Allah bin Bahadur. Pendapat ini disebut oleh Abu al-Hasan Ibn Taghri Bardi al-Anabiki di dalam kitab beliau al-Nujum al-Zahirah fi Muluk Misri wa al-Qahirah dan ia juga disebut oleh Imam Jalaluddin al-Suyuti di dalam kitab karangan beliau iaitu Husn al-Muhadhorah dan al-Itqan fi ‘Ulum al-Qur’an. Begitu juga dengan Imam Shamsuddin, Muhammad bin Abd Allah al-Dawudi di dalam kitab Tabaqat al-Mufassirin turut memberi pandangan mengenai nama sebenar bapa beliau.
Pendapat yang paling sahih mengenai nama bapa beliau yang sebenar adalah Bahadur yang berasal daripada bahasa Turki dan kemudiannya diubah kepada Abd Allah dalam bahasa Arab yang membawa maksud Hamba Allah.

Nisbah Nama Beliau

Imam Badr al-Din al-Zarkasyi dinisbahkan kepada al-Zarkasyi adalah disebabkan
al-Zarkasyi dalam bahasa Parsi membawa maksud tenunan kain sutera emas. Hal ini disebabkan beliau telah mempelajari dan bekerja sebagai penenun benang sutera emas ketika usia muda beliau .

Ada juga yang berpendapat bahawa al-Zarkasyi adalah nisbah kepada salah seorang pemimpin Mamluk. Hal ini disebabkan beliau pernah berkhidmat kepadanya semasa beliau masih muda. Nisbah ini didapati pada suatu catatan di tepi muka surat terakhir dari kitab Zahr al-‘Arisyh fi Tahrim al-Hasyish, cetakan Maktabah Baladiah al-Iskandariah

Kelahiran

Imam Badr al-Din al-Zarkasyi dilahirkan di Mesir pada tahun 745H dari keluarga Turki. Bapa beliau dari keturunan Mamluk . Al-Hafiz Ibn Hajar menyebut mengenai beliau, katanya : “Beliau ( Imam al-Zarkasyi ), berasal daripada Turki dan dilahirkan di Mesir” .

PEKERJAAN AL-ZARKASYI

Mengenai pekerjaan beliau semasa kecil, ada pendapat yang mengatakan beliau bekerja sebagai penenun benang sutera emas dan ada juga pendapat yang mengatakan beliau bertugas sebagai pengawal kepada Raja al-Zarkasyi sebelum beliau berkecimpung dalam bidang ilmu pengetahuan dengan petunjuk Allah s.w.t .

KEILMUWAN

Imam Badr al-Din al-Zarkasyi merupakan contoh terbaik dari segi kesungguhan beliau sebagai penuntut ilmu dan dari segi sumbangan beliau sebagai seorang ulama’ Islam. Semasa tempoh pembelajarannya, beliau hanya menghabiskan waktu beliau dengan belajar dan berdamping dengan guru-guru beliau. Setelah menjadi ulama’, beliau banyak menghabiskan seluruh masanya di rumah dengan tujuan mengarang semata-semata. Dengan ketekunan kesungguhan beliau ini, maka tidak hairanlah, beliau mampu mengarang puluhan buah kitab yang amat bernilai dalam pelbagai bidang ilmu seperti dalam bidang fiqh, hadith, usul, ‘ulum al-Qur’an dan tafsir .

Imam Badr al-Din mula menghafal al-Qur’an pada usia muda. Begitu juga dengan beberapa kitab ringkasan yang terdapat pada zaman beliau seperti kitab al-Tanbih, karangan Imam Syirazi (w. 476H) dan kitab al-Minhaj, karangan Imam Nawawi ( w. 677H ) mampu dihafal oleh beliau ketika usia beliau masih muda lagi.

Imam al-Zarkasyi adalah ulama’ yang bermazhab Syafie dan dikenali sebagai seorang faqih yang amat tajam pemikirannya, seorang ahli usul yang disegani dan seorang ahli tafsir yang dikenali serta seorang yang mahir dalam bahasa Arab .

Kajian Ilmiah Beliau

Imam Badr al-Din al-Zarkasyi tidak hanya menghabiskan masa beliau dengan belajar bersama guru-guru beliau sahaja, bahkan beliau membahagikan masa kepada dirinya sendiri untuk melakukan kajian dan penulisan ilmiah sepertimana yang telah disifatkan oleh al-Hafiz Ibn Hajar bahawa Imam al-Zarkasyi sentiasa menyendiri di rumah dan jarang sekali berkunjung ke kediaman orang lain kecuali ke kedai-kedai buku. Beliau akan mentelaah ilmu di kedai-kedai buku tersebut sepanjang hari dan mencatat ilmu-ilmu baru yang ditemuinya di atas beberapa helaian kertas yang dibawanya bersama. Kemudian beliau pulang ke rumahnya dan memindahkan catatan-catatan tersebut ke dalam kitab-kitab karangan beliau .

Dari sudut permulaan penulisan beliau, ulama’ bersepakat bahawa Imam Badr al-Din al-Zarkasyi sudah mula menulis kitab di usia muda beliau walaupun mereka berselisih pendapat dalam menentukan umur beliau yang sebenar pada ketika itu. Terdapat dua pendapat ulama’ dalam hal ini iaitu pendapat pertama yang diriwayatkan oleh al-Hafiz Ibn Hajar yang mengatakan bahawa Imam al-Zarkasyi mula menulis pada tahun 769H ketika beliau berusia 24 tahun. Pada ketika itu, guru beliau iaitu Imam al-Bulqini menyandang jawatan hakim di negeri Syam. Imam al-Zarkasyi sering meminjam dari guru beliau( Imam al-Bulqini ) kitab Rawdah al-Talibin, karangan Imam Nawawi, jilid demi jilid dan beliau membuat catatan kecil di tepi setiap halaman daripada kitab tersebut. Maka, dengan ini, beliau dikatakan sebagai orang pertama yang mengumpulkan hawasyi Syarh al-Rawdah yang dikarang oleh Imam al-Bulqini pada tahun 769H .

Al-Hafiz Ibn Hajar menyebut di dalam kitab beliau al-Durar al-Kaminah bahawasanya Qadi Wali al-Din bin al-‘Iraqi telah menghimpunkan hawasyi Syarh al-Rawdah yang dikarang oleh Imam al-Bulqini sebelum beliau bertemu dengan catatan Imam al-Zarkasyi yang tersembunyi di dalam kitab asal Hawasyi Syarh al-Rawdah milik Imam al-Bulqini. Setelah menemuinya, beliau lalu menghimpunkan catatan Imam al-Zarkasyi bersama Hawasyi al-Rawdah di dalam kitab yang sama yang ditulis di setiap tepi muka surat.

Dari sini dapat difahami bahawa Imam al-Zarkasyi telah mula membuat kajian beliau sendiri dan terlibat dalam bidang penulisan ketika beliau berusia 24 tahun, akan tetapi beliau masih tetap merebut peluang yang ada untuk menuntut ilmu daripada tokoh-tokoh ulama’ yang ada pada zaman beliau dari pelbagai negara. Hal ini dibuktikan dengan rehlah ilmiah beliau ke negeri Syam yang dipenuhi oleh ulama’-ulama’ besar dalam bidang fiqh, usul, hadith dan tafsir seperti Imam al-Azra‘i, al-Hafiz Ibn Kathir dan sebagainya. Mereka adalah generasi ulama’ yang menggantikan ulama’-ulama’ besar sebelum mereka seperti Imam Nawawi, Ibn Taimiyyah, Ibn Qayyim dan Ibn Salah. Dengan demikian, ilmu Imam al-Zarkasyi diperoleh melalui ulama’-ulama’ besar ini sebelum beliau melalui perantaraan guru-gurunya .

Walaupun Imam al-Zarkasyi pernah bermusafir ke Syam, namun hampir tiada suatu sumber pun yang dapat menunjukkan berapa lama beliau tinggal di sana. Begitu juga dengan sumber yang menyebut mengenai kehidupan ilmiah dan perjalanan hidup beliau, tidak disebutkan secara terperinci .

Manakala pendapat kedua yang diriwayatkan oleh Haj al-Khalifah di dalam kitab beliau Kasyf al-Zunun bahawa Imam al-Zarkasyi mula mengarang pada tahun 772H ketika beliau telah menyempurnakan Syarh Kitab al-Minhaj yang tidak dapat disempurnakan disebabkan kematian guru beliau iaitu Syeikh Jamaluddin al-Isnawi. Imam al-Zarkasyi dikatakan menggunakan metod penulisan salah seorang daripada guru beliau ketika menyempurnakan Syarh Kitab al-Minhaj ini iaitu Syeikh al-Isnawi sendiri dan Imam al-Azra’i mengikut metode penulisan Kitab al-Tawassut. Di sini dapat disimpulkan bahawa Imam al-Zarkasyi telah berjaya mencapai tahap ilmu guru-guru beliau pada usia beliau yang baru menjangkau 27 tahun .

Tulisan beliau sangat buruk sehinggakan jarang sekali ada orang yang dapat membaca tulisan beliau . Walaubagaimanapun, Imam al-Zarkasyi tetap mengajar dan mengeluarkan fatwa serta beliau juga dilantik oleh Syeikh Karim al-Din sebagai qadi di Qarafah al-Sughra, Qaherah sehingga ke akhir umur beliau .


GURU-GURU AL-ZARKASYI

Di antara ulama’-ulama’ besar yang pernah menjadi guru beliau termasuklah:-

1.Jamal al-Din Abd al-Rahim bin Hasan bin Ali bin ‘Umar bin Ali bin Ibrahim al-Umawi al-Isnawi .
2.Siraj al-Din al-Bulqini, Abu Hafs, Umar bin Roslan bin Nasir bin Saleh bin Shihab al-Kanani .
3.Maghlatoya bin Qalij al-Hanafi, gelarannya al-Hafiz ‘Alau’ al-Din .
4.Ahmad bin Ahmad bin Abd al-Wahid bin Muhammmad bin Ahmad bin Salim, Shihab al-Din al-Azra’i .
5.‘Imad al-Din Abu al-Fida’ Ismail bin ‘Umar bin Kathir bin Dhau’ bin Kathir al-Qaisi .
6.Baha’ al-Din al-Subki, Muhammad bin Abd Barr bin Yahya bin Ali bin Yusuf bin Musa bin Tamam al-Khazraji al-Syafie .
7.Abu Hafs, ‘Umar bin Hasan bin Mazid bin Amilah bin Jumuah al-Maraghi al-Halabi .
8.Badr al-Din, al-Hasan bin ‘Umar bin Habib bin Syawaikh bin ‘Umar al-Dimasyqi al-Halabi .
9.Abu Abd Allah, Syarf al-Din, ,al-Hasan bin Sulaiman bin Rayyan al-Toi al-Halabi .
10.Abu Muhammad, Abd Allah bin Yusuf bin Abd Allah bin Ahmad bin Abd Allah bin Hisyam .
11.Salah al-Din, Abu al-Sofa, Khalil bin Abik bin Abd Allah al-Sofdi .


Sumber-sumber yang dipercayai menyatakan bahawa pengajian al-Zarkasyi ketika bersama guru-guru beliau banyak mempengaruhi diri beliau sama ada dari sudut penulisan mahupun cara hidup. Dari sudut kehidupan, beliau di khabarkan sebagai seorang yang sentiasa menghabiskan masa beliau sama ada dengan belajar ataupun mengarang dan jarang sekali beliau keluar dari rumah kecuali ketika benar-benar perlu . Faktor kemiskinan dan tanggungan hidup yang dijamin oleh seorang ulama’ yang bernama Burhan al-Din bin Jama’ah menyebabkan beliau tidak perlu lagi bersusah payah mencari nafkah hidup dan sebagai gantinya beliau menghabiskan seluruh hidupnya semata-mata untuk mengarang kitab dan mengajar.
Begitu juga dari sudut penulisan, beliau terpengaruh dengan penulisan guru-guru beliau seperti Syeikh Jamal al-Din al-Isnawi. Beliau menyempurna dan melengkapkan kitab Syarh al-Minhaj yang telah terhenti penulisannya disebabkan kematian guru beliau dengan menggunakan metode penulisan al-Isnawi sendiri tanpa mengubahnya sedikit pun. Syarh al-Minhaj ini telah mendapat pengiktirafan daripada al-Hafiz Ibn Hajar di dalam kitab beliau yang terkenal al-Durar al-Kaminah sebagai kitab Syarh kepada al-Minhaj yang paling baik dan bermanfaat daripada kitab Syarh lain .

Sesetengah yang lain berpendapat bahawa Imam Badr al-Din al-Zarkasyi menggunakan metode penulisan guru beliau yang lain iaitu Imam al-Azra’i melalui kitab beliau yang diberi nama “al-Tawassut” dalam melengkapkan kitab Syarh al-Minhaj .


MURID-MURID AL-ZARKASYI

Mengenai murid-murid Imam Badr al-Din al-Zarkasyi, hampir semua sumber tidak menyebutnya melainkan beberapa individu, di antaranya :-

1.Al-Barmawi, Shams al-Din Muhammad bin Abd al-Dayim bin Musa .
2.Al-Qadi Najm al-Din, ‘Umar bin Haj al-Dimasyq al-Syafie. Dilantik sebagai mufti di Dar al-‘Adl sehingga beliau terbunuh di luar kota Damsyiq pada tahun 830H.
3.Selain itu, anak-anak Imam al-Zarkasyi sendiri yang terdiri daripada 5 orang iaitu Aisyah, Fatimah, Muhammad, Ali dan Ahmad merupakan murid beliau. Diriwayatkan daripada anak beliau, Muhammad, bahawa beliau mempelajari Kitab al-Ijabah daripada bapa beliau iaitu Imam al-Zarkasyi dan dalam masa yang sama menjadi guru beliau.

KEPERIBADIAN BELIAU

Imam Badr al-Din al-Zarkasyi adalah seorang yang tawadhuk dan zuhud serta suka menyendiri daripada manusia. Hal ini adalah disebabkan kesusahan dan kemiskinan yang dialami oleh beliau serta pergantungan hidup beliau kepada orang lain .

Para pengkaji yang meneliti secara halus dan mendalam terhadap permulaan kitab-kitab Imam al-Zarkasyi dapat mengetahui sifat tawadhuk, qana’ah dan kezuhudan beliau. Ini dapat dibuktikan apabila tiada suatu sebutan pun di dalam permulaan kitab beliau melainkan pujian kepada Allah s.w.t atas segala nikmat yang dikecapi beliau . Contohnya beliau menyebut di dalam kitab Syarh al-Minhaj : “Segala puji bagi Allah yang Maha Pemurah dengan segala nikmatNya yang tidak terhitung”. Begitu juga sebutan beliau di dalam kitab Khadim al-Rifa’i : “Segala puji bagi Allah yang telah memperluaskan rezeki kami dengan segala nikmatNya”. Di dalam kitab Tanqih al-Jami’ al-Sahih Li al-Bukhari beliau menyebut : “Segala puji bagi Allah yang memberi nikmatNya secara menyeluruh”. Manakala dalam kitab Khobaya al-Zawaya fi al-Furu’ beliau menulis : “Segala puji bagi Allah yang sentiasa memperbaharui nikmatNya”. Dan yang terakhir di dalam kitab Zahr al-‘Arisyh fi Tahrim al-Hasyish dengan tulisan beliau : “Aku mengungkapkan segala pujian kepada Allah yang telah memberi pelbagai nikmat ke atas hambaNya”. Dalil-dalil ini menunjukkan ketinggian sifat tawadhuk Imam al-Zarkasyi terhadap Allah s.w.t dan limpahan kesyukuran beliau terhadap segala nikmatNya .

Terdapat beberapa sumber yang menyebut dalil kecenderungan Imam al-Zarkasyi yang lebih suka menyendiri dan menjauhi manusia, di antaranya al-Hafiz Ibn Hajar dan ulama’ lainnya menyebut bahawa Imam al-Zarkasyi menghabiskan masa beliau sama ada dengan mendampingi guru-guru beliau ataupun menyendiri di rumah beliau sahaja. Beliau sentiasa mengunci pintu rumah beliau sekiranya beliau berada di rumah. Jarang sekali beliau keluar melainkan untuk pergi ke kedai-kedai buku. Maka, kerana itu hidup beliau hanya dihabiskan untuk menuntut ilmu dan mengarang semata-mata.

Beliau juga sering memuji guru-guru yang sering berbuat baik kepada beliau. Beliau sentiasa memuji keperibadian salah seorang gurunya iaitu al-Azra‘i, dengan katanya : “Aku bermusafir menemui beliau ( al-Azra‘i ) pada tahun 763H ( ketika itu beliau baru berumur 18 tahun ) maka, aku bertemu beliau di rumahnya. Beliau sangat memuliakanku sehinggakan seluruh penduduk negeri beliau memuliakan ku juga”.

Sepertimana yang kita ketahui, para cendiakawan Islam terdahulu sangat memuliakan ulama’-ulama’ disebabkan ilmu, kebaikan dan ihsan yang telah terkumpul di dada-dada mereka. Salah seorang ulama’ besar pada zaman Imam al-Zarkasyi iaitu Syeikh Burhan al-Din bin Jama’ah telah menunjukkan satu contoh kemuliaan dan pengiktirafan ulama’ sesama mereka dengan memberi nafkah hidup kepada Imam al-Zarkasyi dan keluarga beliau serta memberi peluang kepada beliau untuk membaca kitab-kitab di Maktabah Jami’ah .

Ibn Jama’ah yang berusia 20 tahun lebih tua daripada Imam al-Zarkasyi dan beliau merupakan satu-satunya pewaris keluarga beliau dari sudut ilmu, kemulian dan harta kekayaan yang ada di seluruh pelosok Syam dan Mesir. Sebagai tanda terima kasihnya, Imam al-Zarkasyi telah menghadiahkan kitab tulisan beliau al-Ijabah li Irad Mastadrakathu ‘Aisyah ala al-Sahabah kepada Syeikh Burhan al-Din dan disertai pujian di dalam ucapan kitab beliau itu, katanya : ‘‘Aku ( Imam al-Zarkasyi ) menghadiahkan kitab ini kepada seorang yang mempunyai ilmu yang luas dan permata yang bernilai, cahaya beliau lebih terang daripada cahaya matahari dan bulan serta mempunyai adab yang luas dan sekuntum bunga yang mekar, beliau ialah Sayyidi Qadi al-Quda Burhan al-Din bin Jama’ah”.

Dengan nafkah yang ditanggung oleh Syeikh Burhan al-Din, maka terlepaslah Imam al-Zarkasyi daripada tuntutan nafkah keluarga beliau. Namun begitu, beliau tidak melepaskan tanggungjawab mendidik anak-anak kepada orang lain, bahkan beliau sendiri yang mendidik mereka. Setelah beliau menamatkan mana-mana kitab karangannya, beliau mengumpulkan anak-anaknya dan dibacakan ke atas mereka dan tidak seorang pun yang dikecualikan daripada mendapat didikan beliau sepertimana yang ditahqiqkan oleh Sa’id al-Afghani di dalam muka surat terakhir daripada kitab al-Ijabah dengan katanya : ‘‘ Sesungguhnya penulis ( Imam al-Zarkasyi ) telah membacakan kitab ini ke atas anak-anak beliau lelaki mahupun perempuan sehinggakan anak beliau yang berumur 2 tahun turut berada dalam majlis beliau”.

Hal ini menunjukkan keprihatinan Imam al-Zarkasyi dalam pendidikan anak-anak beliau dan tidak pernah mengabaikan mereka. Sekalipun beliau gemar dan suka menjauhi manusia namun beliau sangat dekat dan rapat dengan anak-anaknya .

Ketokohannya sebagai ulama’ dan pemikir Islam terkemuka dapat dilihat melalui keperibadian dan akhlaknya yang mulia. Kriteria inilah yang dinilai bagi melayakkan beliau bergelar ulama’ dan pemikir pada pandangan Islam.

KEDUDUKAN AL-ZARKASYI SEBAGAI SEORANG TOKOH ULAMA’

Walaupun Imam al-Zarkasyi mempunyai ilmu yang tinggi dalam pelbagai bidang namun beliau tidak masyhur di kalangan orang ramai pada zaman beliau. Nama beliau hanya dikenali selepas kewafatan beliau pada tahun794H. Hal ini adalah disebabkan sikap beliau yang lebih suka menyendiri dari hidup bermasyarakat, kezuhudan beliau dalam kehidupan serta ketekunan beliau dalam menuntut ilmu dan mengarang kitab .

Namun begitu, beliau amat dikenali oleh ulama’ dan ahli-ahli ilmu yang sezaman dengan beliau dan ulama’-ulama’ yang lahir selepas beliau seperti al-Hafiz Ibn Hajar, yang mana beliau telah menyusun biografi Imam al-Zarkasyi dengan begitu sempurna dan baik sekali di dalam kitab beliau yang dinamakan sebagai al-Durar al-Kaminah serta meletakkan beliau sebagai salah seorang ulama’besar kurun ke-18.

Imam al-Zarkasyi mengikut jejak langkah ulama’ lainnya dengan menuntut ilmu daripada ulama’-ulama’ besar yang sezaman dengan beliau terutamanya ulama’-ulama’ mazhab yang terkenal di dalam dunia Islam pada ketika itu. Perkara ini diakui sendiri oleh Imam al-Zarkasyi dan sebagai buktinya, di dalam kitab-kitab karangan beliau, beliau banyak menisbahkan kembali pendapat-pendapat yang dimuatkan kepada pemiliknya dari kalangan ulama’ dan kitab-kitab karangan mereka. Perkara ini juga disebut oleh al-Hafiz Ibn Hajar di dalam biografi Imam al-Zarkasyi dengan katanya : “Beliau (Imam al-Zarkasyi) menuntut ilmu daripada Imam al-Bulqini dengan mempelajari kitab Hasyiah Bulqini ala Syarh al-Rawdah dan mengambil banyak pendapat guru beliau al-Azra‘i melalui kitab al-Tawassut ketika beliau (Imam al-Zarkasyi) mengarang Kitab Khadim al-Raf‘i serta mempelajari ‘Ulum Hadith dan beberapa buah kitab ringkasan daripada al-Hafiz Ibn Kathir ”.

Bukan setakat itu sahaja, bahkan Imam al-Zarkasyi diberi pengiktirafan oleh al-Hafiz Ibn Hajar sebagai seorang ulama’ yang bukan hanya mengambil pendapat ulama’ lain semata-mata, bahkan beliau adalah seorang yang amat menitikberatkan penyelidikan ilmiah serta mempunyai manhaj tertentu dalam menyusun metode penulisan beliau di dalam kitab-kitab karangan beliau. Sebagai contoh, al-Hafiz Ibn Hajar menyatakan bahawa Imam al-Zarkasyi menjadikan kitab karangan Ibn Abi Mansur al-Baghdadi sebagai kitab asal kepada kitab al-Ijabah li Irad Mastadrakathu ‘Aisyah Ala al-Sohabah. Kitab Abu Mansur ini mengandungi 25 buah hadith Rasulullah s.a.w dan dicetak di dalam bentuk yang nipis sahaja tetapi al-Hafiz Ibn Hajar mengakui bahawa Imam al-Zarkasyi telah menyusun semula kitab ini dengan lebih baik dan menambahkan penjelasan dan keterangan ke atas hadith-hadith tersebut serta banyak mengambil pendapat daripada kitab-kitab besar yang muktabar .

KEWAFATAN

Beliau wafat pada hari Ahad 3 Rejab tahun 794H dalam usia 49 tahun dan dimakamkan di Qarafah al-Sughra, Qaherah, Mesir.


KESIMPULAN

Imam Badr al-Din al-Zarkasyi merupakan seorang ulama’ yang terbilang dan luas ilmu pengetahuannya serta mempunyai keperibadian yang tinggi. Walaupun beliau tidak dikenali pada zamannya disebabkan sikap beliau yang suka menyendiri dari hidup bermasyarakat namun beliau lebih dikenali dikalangan ulama’-ulama’ yang hidup pada zaman beliau dan selepas beliau .Ketinggian beliau dalam bidang ilmu menjadikan beliau seorang yang terkenal dan mempunyai kedudukan yang tinggi di kalangan para ulama’ tersohor seperti Ibn Hajar. Justeru, penulis berpandangan berdasarkan keilmuan, kepakaran beliau dan kekuatan peribadinya, melayakkan Imam Badr al-Din al-Zarkasyi untuk digelar mujtahid dan kibar al-ulama’. Penulis berharap agar koleksi kajian berhubung ketokohan Imam Badr al-Din al-Zarkasyi sebagai seorang ulama’ yang menguasai pelbagai disiplin ilmu agama yang melayakkannya digelar sebagai tokoh yang memberikan sumbangan yang bermakna kepada masyarakat diperbayakkan lagi agar dapat dijadikan ikutan kepada pencinta-pencinta ilmu kini.

1 comment:

  1. assalamualaikum. mohon pencerahan mengenai maksud kuniyahnya. dan mohon untuk copy ye.

    ReplyDelete